Pemain Terengganu FC (TFC) melaungkan keyakinan untuk memburu kemenangan kedua berdepan kelab Indonesia, Bali United dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), malam ini.
Beraksi di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali, pemain skuad Penyu juga mengidam memburu gol awal bagi menambah lagi keyakinan selain memberi tekanan kepada tuan rumah.
Pada aksi pertama berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada aksi pertama 20 September lalu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner melakar kejutan dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan sendiri pertahanan pelawat, Nathan Paull.
Pemain tengah, Omid Nazari berkata, jaringan awal begitu penting buat pasukannya bagi meningkatkan lagi semangat dia dan rakan sepasukannya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada TFC.
“Kami berharap agar dapat memperagakan aksi yang terbaik bersama-sama dalam misi untuk melakar kemenangan kedua dalam pertemuan itu.
“Sudah tentu gol awal begitu penting buat kami bagi menaikkan lagi semangat dalam misi melakar kemenangan, tapi nasihat saya agar kami dapat fokus dalam masa 90 minit kerana sedar setiap perlawanan itu sukar lebih-lebih bermain di depan penyokong mereka.
“Namun, perancangan jurulatih dan prestasi terkini pasukan mampu menyajikan aksi terbaik dan semestinya kami mahu menang, tapi bermain di tempat lawan satu mata sudah cukup bagus,” katanya.
sumber:- BH
TFC yang kini menghuni di tangga kedua Kumpulan G di belakang kelab Indonesia itu dijangka bakal menurunkan penjaga gol yang disenaraikan dalam skuad kebangsaan, Suhaimi Husin selain Habib Haroon, Sony Norde dan Nurillo Tukhtasinov mengisi di posisi tengah manakala penyerang bakal menjadi milik penjaring terbanyak, Ivan Mamut.