Selangor FC menamatkan kontrak pemain importnya, Yazan Al-Arab susulan insiden pemain itu menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Terengganu, 24 September lalu.
Kelab itu dalam kenyataan, hari ini menjelaskan tindakan berkenaan diambil selepas menjalankan satu prosiding tatatertib berkaitan insiden terbabit.
“Berikutan prosiding tatatertib itu, kelab memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.
“Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan kelab.
“Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan,” kata Selangor FC.
Yazan dilayangkan kad merah selepas dia seperti mengatakan sesuatu kepada pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir sejurus tamat perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pemain pertahanan Jordan itu kemudian bertindak luar jangka apabila menyepak bahagian belakang Mohd Hasrol, sekali gus meletakkanya dirinya dalam bahaya dan boleh dikenakan hukuman berat.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh dalam laporan BH Sukan sebelum ini menyifatkan bukan sahaja FAM yang perlu mengenakan hukuman, malah pengurusan Selangor juga wajar mengambil tindakan tegas terhadap pemain itu.
sumber:- BH
Beliau berpandangan badan induk itu perlu mengenakan hukuman penggantungan dan Selangor FC pula wajar mengambil tindakan tegas termasuk menggantung atau menamatkan kontrak Yazan.