Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva akui melalui transformasi menjadi pemain lebih ‘versatile’ sejak menyertai juara Liga Super itu tiga tahun yang lalu.
Bergson dilihat bukan sahaja tajam di hadapan pintu gol lawan setelah mencetak 102 gol dalam 91 perlawanan malah turut menjadikan gandingan penyerang mampu untuk beraksi dengan lebih baik dan membuat jaringan gol.
Penyerang kelahiran Brazil itu akui dia bukanlah pemain yang sama ketika menyertai skuad Harimau Selatan dan tidak tamak di hadapan pintu gol lawan.
“Sebelum datang ke sini saya akui corak permainan saya cenderung kepada individualistik, namun di sini saya mula melalui transformasi menjadi pemain yang lebih baik dan bermain secara berpasukan.
“Kini saya tidak kisah siapa yang jaringkan gol. Seperti dalam perlawanan ini, saya serahkan penalti kepada Arif Aiman untuk berikan dia semangat dan saya bangga dengan perkembangan karier saya di JDT.
“Sebagai pemain yang memakai lilitan kapten pada malam ini, saya cuba lakukan yang terbaik untuk rakan sepasukan, hasilnya apabila kami berjaya memenangi kejuaraan,” katanya.
Bergson telah mencipta rekod apabila menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan 100 gol sejak mula menyertai JDT pada 2021.
Dalam pada itu, Bergson yang juga penjaring terbanyak pasukan itu menjelaskan tidak terlalu memberikan fokus untuk menambah jaringan peribadinya sebaliknya mahu membantu skuad Harimau Selatan itu merekodkan lebih banyak kejayaan.
Menurut pemain berusia 32 tahun itu, fokusnya ketika ini adalah untuk memberikan aksi yang terbaiknya dalam setiap perlawanan bagi merealisasikan perkara berkenaan.
“Saya dan rakan sepasukan akan terus berusaha bagi menghadapi pelbagai lagi cabaran serta akan terus membanggakan para penyokong yang sentiasa ada di belakang pasukan.
“Kami berikan segalanya dalam setiap permainan dan masih perlu melonjakkan diri untuk terus ke hadapan, apa yang penting kami menang dan meraih kejuaraan bersama JDT,” katanya.