sukan

Fandi Akhirnya putuskan gandingan Kpah Sherman

Sri Pahang tidak memandang mudah terhadap keupayaan Kuching City apabila kedua-dua pasukan itu akan bertembung dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menjelaskan walaupun lawannya itu berada di tangga tercorot liga ketika ini, namun pasukannya tidak boleh bermain sambil lewa.

Dia berkata, tiada pasukan yang mudah untuk dikalahkan dalam saingan Liga Super dan semua pemain perlu lebih bijak memanfaatkan peluang untuk mencatatkan kemenangan.

“Sri Pahang perlu memberi fokus sepenuhnya dan tidak boleh bermain sambil lewa kerana pasukan seperti Kuching City juga mempunyai matlamat untuk membuat kejutan.

“Berbaki enam perlawanan, Insya-Allah Sri Pahang akan berusaha yang terbaik untuk mendapatkan sebanyak mungkin mata dan memperbaiki kedudukan musim lalu.

“Kita tahu pasukan lain pun berusaha mengejar kedudukan lebih baik,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Ditanya kemungkinan ada pertukaran pemain terutama di bahagian serangan, Fandi berkata, setakat ini tiada perancangan untuk memisahkan gandingan Kpah Sherman dan Rafael Silva.

Katanya, dua penyerang import itu menjadi sandaran meskipun mereka gagal menjaringkan gol pada suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur (KL) City, 24 September lalu.

“Buat masa ini, saya rasa gandingan Sherman dan Rafael yang terbaik, cuma kurang beruntung ketika berdepan KL City.

“Pada masa yang sama, Kevin Ingreso dan Nor Azam Azih tidak dapat bermain kerana digantung perlawanan dan masalah kecederaan.

“Ketiadaan mereka di bahagian tengah diharap tidak menjejaskan prestasi pasukan untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri,” katanya.

sumber:- BH

Selepas mengharungi 20 perlawanan liga, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima dengan mengutip 40 mata manakala Kuching City di kedudukan tercorot dengan hanya mengumpul tujuh mata.