sukan

Kejutan Badminton Sukan Asia Hangzhou

PENANTIAN peminat badminton tempatan untuk menyaksikan barisan pemain kesayangan turun beraksi pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, dibalas dengan keputusan mengecewakan di Gimnasium Binjiang di sini, malam Khamis.

Ini selepas Malaysia disingkirkan Korea Selatan dalam acara berpasukan lelaki seawal pusingan pertama, apabila tewas 1-3.Perseorangan utama, Lee Zii Jia yang menghuni ranking ke-16 dunia memulakan langkah sumbang skuad negara, apabila tewas kepada pemain nombor 47 dunia Jeon Hyeok Jin 14-21, 21-14, 18-21.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang mempamerkan kelas tersendiri untuk menjinakkan Seo Seung Jae-Kang Min Hyuk 21-17, 21-9, sekali gus menghadiahkan mata pertama negara.

Rentak itu gagal diteruskan seorang lagi perseorangan negara Ng Tze Yong yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, apabila tumpas mengejut di tangan pemain ranking ke-119 Lee Yun Gyu 11-21, 16-21.

Harapan Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya berkecai, selepas gandingan Kim Won Ho-Na Sung Seung, tidak berdepan masalah mengatasi satu lagi pasangan beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 16-21, 18-21, sekali gus mengesahkan kemaraan Korea Selatan ke peringkat suku akhir.

Korea Selatan akan membuat perhitungan menentang Indonesia di suku akhir.

Sementara itu, biarpun Malaysia terkandas di pusingan pertama, Aaron-Wooi Yik masing-masing gembira selepas melakar kemenangan, dalam penampilan sulung di temasya Sukan Asia.

“Walaupun banyak kejohanan yang kami sudah lalui, tetapi ini merupakan salah satu kejohanan utama bagi kami. Kami harap debut ini menjadi debut yang baik buat kami,” kata Aaron.

sumber:- SH

Kem badminton negara akan meneruskan cabaran apabila masing-masing akan turun dalam acara bukan berpasukan, yang dijadual bermula Isnin depan. – Bernama