sukan

‘Raja Bola Malaysia’ rendah diri

Walaupun boleh dianggap sebagai ‘Raja Bola Malaysia’, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap merendah diri melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas membenam cabaran Negeri Sembilan FC dengan agregat 7-1.

Tetap diletakkan sebagai pasukan pilihan pada tahun ini, namun Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari menganggap skuadnya bakal diberi tentangan hebat oleh lawannya nanti, sama ada Sabah FC atau Perak FC.

“Sabah dibarisi pemain berpengalaman, manakala Perak dibarisi pemain muda yang sentiasa bekerja keras. Kedua-dua pasukan ini mampu beri saingan dalam aksi separuh akhir nanti.

“Siapa pun lawan JDT nanti, kita akan memberi tentangan hebat, sekali gus melangkah ke pentas final. Sehingga tiba masa itu, kita perlu buat persiapan untuk aksi liga dan ACL yang menjadi prioriti,” katanya.

Walaupun tidak membariskan pemain utama pada aksi menentang Negeri Sembilan FC kelmarin, namun JDT tidak berdepan masalah untuk menundukkan skuad Hobin Jang Hobin.

Hanya mengekalkan Bergson Da Silva, Juan Muniz dan Shio Hong Wan dalam kesebelsan utama yang berdepan Kawasaki Frontale pada aksi Liga Juara-juara Asia (ACL), Selasa lalu, JDT menurunkan ramai pemain yang jarang beraksi.

“Kesemua pemain yang diturunkan telah menjalankan tugas dengan baik apabila mempamerkan aksi terbaik, pada babak pertama mereka berjaya meledak tiga gol.

“Setelah selesa di hadapan, pemain tampak hilang tumpuan dan membenarkan pemain Negeri Sembilan ambil kesempatan dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan.

“Pada babak kedua, kita mula hilang rentak dan tahap intensiti permainan juga dikendurkan apabila memasukkan pemain yang baru pulih daripada kecederaan seperti Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo,” katanya.

Dalam pada itu, Solari turut memuji persembahan Syamer Kutty Abba yang mengemudi bek pertahanan bersama Feroz Baharuddin serta Syahmi Safari yang beraksi konsisten sepanjang tempoh 90 minit permainan