sukan

Bangga jadi pemain Tunggal berjaya tembusi JDT

Meskipun kecewa gagal membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, namun pemain pertahanan kiri, Mohamad Zamri Pin Ramli boleh berbangga menjadi pemain tunggal yang berjaya menembusi gawang Johor Darul Ta`zim (JDT).

Ia susulan gol tunggal yang dijaringkan pemain berkenaan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Sabtu lalu, yang menyaksikan Negeri Sembilan tewas 1-4 kepada JDT.

Gol berkenaan dijaringkannya pada minit ke-39 perlawanan sekali gus menewaskan Farizal Marlias selepas menerima bola hantaran lintang daripada Mahali Jasuli.

Bagi Zamri Pin, jaringan gol berkenaan begitu bermakna kerana dapat dilakukan di gelanggang lawan dan di hadapan penyokong skuad Harimau Selatan.

“Gol itu adalah rezeki bagi saya kerana bukan mudah untuk menembusi benteng JDT yang sentiasa kebal, malah dalam perlawanan sebelum ini pun termasuk di laman sendiri, kami gagal menjaringkan gol atau berjaya meletakkan bola ke dalam gawang pasukan berkenaan.

“Lebih menarik, ia adalah gol pertama saya dalam saingan Liga Malaysia musim ini,” kata pemain kelahiran Kulim, Kedah berusia 30 tahun itu, hari ini.

Dia menyifatkan jaringan berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus beraksi cemerlang bagi membantu skuad Hobin Jang Hobin meraih kemenangan dalam lima baki saingan Liga Super selepas ini.

Menurutnya, selepas cabaran dalam Piala Malaysia berakhir, fokus dia dan pasukannya sudah pasti bagi mengharungi baki lima perlawanan liga dengan tiga daripadanya beraksi di gelanggang sendiri.

Zamri Pin mahu terus memberikan sumbangan terbaik dalam memastikan Negeri Sembilan dapat memperbaiki kedudukan dalam carta liga berbanding di tempat kesembilan ketika ini.

“Kami perlu meningkatkan lagi kualiti persembahan terutama dalam menghadapi baki lima perlawanan dan perlu berusaha mendapatkan kemenangan dalam semua aksi berkenaan.

sumber:- HM

“Saya yakin dan percaya, sasaran pasukan untuk berada atau mengakhiri saingan liga musim ini di kedudukan sekurang-kurangnya tangga ketujuh carta liga boleh dicapai,” katanya.