sukan

Puas hati `eksperimen’ menjadi

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menyifatkan `eksperimen’ membawa masuk beberapa pemain simpanan pada aksi menentang Negeri Sembilan FC membuahkan hasil apabila menang 4-1 dalam pertembungan suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Solari berkata, persembahan yang berkualiti dengan rentak permainan konsisten yang dipamerkan beberapa pemain yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama tidak mengecewakan terutama pada babak pertama.

“Kita bermula dengan baik pada babak pertama dan berjaya menjaringkan tiga gol dan mengekalkan momentum permainan dengan menguasai di posisi tengah malah tidak memberi ruang untuk lawan bergerak.

“Apapun ada sedikit kelonggaran yang berlaku di penghujung babak pertama apabila kita tidak menutup ruang menyebabkan pemain Negeri Sembilan mengambil kesempatan menjaringkan gol dan ia tidak sepatutnya berlaku jika pemain saya fokus dan tidak buat silap.

“Pada babak kedua, kita kehilangan rentak permainan tetapi ia bukan sesuatu yang membimbangkan kerana beberapa pemain yang beraksi perlu mendapat minit permainan yang baru pulih daripada kecederaan seperti Fernando (Forestieri) dan Diogo (Luis Santo).

“Ferando masih bergelut dengan tahap kecergasan dan dia sedang dalam proses untuk kembali berada di tahap terbaik namun keupayaan menjaringkan gol memberi lebih keyakinan kepadanya bagi berada di puncak prestasi sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai status Jordi Amat dan Matthew Davies yang tidak disenaraikan dalam aksi menentang skuad kendalian K Devan, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan bukan sahaja kedua-dua pemain itu direhatkan malah Corbin Ong juga perlu rehat selepas beraksi dalam permainan berintensiti tinggi.

sumber:- BH

Solari juga berpuas hati dengan kualiti permainan Syamer Kutty Abba yang mengemudi benteng pertahanan bersama Feroz Baharuddin dan Syahmi Safari yang menamatkan aksi 90 minit permainan dan mempamerkan konsistensi sepanjang perlawanan itu.