sukan

Formula Selangor batal kelebihan TFC

Selangor FC akan turun dengan misi mencari gol awal bagi memadam defisit dua yang dimiliki Terengganu FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Terengganu FC memiliki ke­le­bihan dua gol selepas menang 2-0 dalam aksi pertama minggu lalu dan situasi itu meletakkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe dalam keadaan agak tertekan untuk memastikan mereka ­layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata, dia bersama barisan kejurulatihan sudah merangka strategi terbaik untuk melayan kunjungan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner dengan misi terarah kepada buruan gol pada awal permainan.

“Memang persiapan minggu ini nampak pemain bersema­ngat dan bermotivasi. Bukan tugas mudah, kerana kalau kita lihat defisit dua gol agak besar namun, dalam bola sepak apa jua boleh berlaku dan kami akan berusaha sebaik mungkin.

“Kita kena bermain cara kita dan akan turun dengan misi mencari gol awal, kita sedar Terengganu dalam kondisi terbaik selepas mereka mencatat­kan kemenangan ketika menentang Central Coast Mariners dalam Piala AFC pada Rabu lalu.

“Ketika ini pemain juga dalam keadaan baik, bebas daripada sebarang kecederaan dan pergantungan.
“Harap mereka dapat lakukan yang terbaik dan bawa pa­sukan ke separuh akhir,” ­katanya.

Ditanya tentang jentera serangan yang membazirkan banyak peluang pada pertembungan pertama, Cheng Hoe berkata, perkara itu perlu dielakkan dalam pertembungan kedua malam ini bagi mengelak pasukan berputih mata.

“Pemain kena tunjukkan sikap mahukan kemenangan, barisan hadapan perlu dimanfaatkan segala peluang yang terhidang kerana kita ketinggalan dua gol. Jika segala peluang tidak disempurnakan, ia akan merugikan pasukan.

“Di bahagian pertahanan pula, kerja keras perlu dilakukan untuk merantai penyerang Terengganu yang sejak akhir-akhir ini dilihat begitu berkesan dan melakukan kerja seperti yang diharapkan. Kita kena berhati-hati dengan Sony Norde, Ivan Mamut dan Norhakim Hasan.

“Mereka (Terengganu) juga bergerak sebagai satu pasukan, jadi kita kena bersedia di setiap bahagian selain perlu berwaspada dengan serangan balas mereka kerana Norhakim sangat laju dan perlu diberikan perhatian,” katanya.