sukan

FAM sahkan calon pengendali baharu

Gabungan kepakaran import dan tempatan bakal dipertaruhkan bagi membimbing skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dengan calon terbabit akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perkembangan terbaharu itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman yang tidak menolak kemungkinan gandingan import dan tempatan menerajui skuad Harimau Muda itu.

Jelasnya, pemilihan calon berkenaan sudah memasuki peringkat akhir dan pengendali itu akan dimaklumkan tidak lama lagi.”Pemilihan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan yang juga Datuk Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin), jadi eloklah biar Datuk Presiden yang umumkan nanti.

“Tapi saya boleh katakan ia sudah di fasa terakhir dan akan diumumkan dalam masa terdekat saja,” katanya hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan FAM tidak menunggu lama apabila segera mencari pengganti E Elavarasan yang melepaskan jawatannya selaku pengendali B-23, pada Isnin lalu.

Difahamkan, beberapa calon sedang dipertimbangkan dengan badan induk itu bakal menggunakan formula gabungan antara kepakaran import dan tempatan dalam skuad Harimau Muda itu.

Antara nama yang dikaitkan adalah penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya, Pau Marti Vicente di mana beliau dilihat calon paling sesuai kerana amat mengenali falsafah permainan Kim Pan-gon.

Selain itu, nama penolong jurulatih kepada Elavarasan iaitu Juan Torres Garrido turut disebut-sebut di mana beliau mempunyai pengalaman luas di Sepanyol serta memiliki lesen kejurulatihan Lesen A UEFA.

sumber:- HM

Manakala calon tempatan pula dikaitkan antaranya penolong jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil; pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar dan bekas penolong jurulatih B-19 negara, Noor Zaidi Rohmat.