Terengganu FC (TFC) melakar kejutan pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) selepas menumpaskan Central Coast Mariners, 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan TFC menghuni di tangga kedua kumpulan di belakang pendahulu, Bali United dari Indonesia.
TFC memperoleh gol tunggal pada masa kecederaan babak pertama apabila hantaran lintang pemain import kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov tertampan pertahanan pelawat, Nathan Paull ke dalam gawang sendiri.
Pada perlawanan diadili pengadil dari Oman, Mahmood Salim Al Majarafi itu, skuad pelawat yang juga bekas juara Liga Australia musim lalu dan dikendalikan bekas pemain import Johor, Abbas Saad terlebih dahulu mencemaskan kubu skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menerusi percubaan Marco Tulio Lemos pada minit kedua yang sedikit sipi di sebelah kiri pintu gol.
Pelawat sekali menguji pintu gol TFC yang dikawal Suhaimi Husin menerusi sepakan percuma Antonio Mikael pada minit ke-11, namun berjaya ditolak keluar pertahanan tuan rumah.
TFC yang menurunkan semua pemain pertahanan tempatan sekali lagi berdepan detik cemas empat minit berselang selepas Angel Quinones bijak meloloskan diri, namun rembatannya dihalang Suhaimi.
Pada minit ke-29, pemain sayap TFC, Mohd Nor Hakim Hassan berpeluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring, namun rembatan leretnya hanya melintasi pintu gol.
Namun, kesilapan Paull tertampan bola ke gawang sendiri menceriakan hampir 6,000 peminat setia pada masa kecederaan babak pertama.
Pada minit ke-47, Sony Norde berpeluang untuk menambah jaringan menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti, tetapi bola ditepis keluar penjaga gol lawan.
Pada minit ke-75, rembatan padu kapten TFC, Habib Haroon dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang gol lawan.
sumber:- HM
Kedua-dua pasukan terus mengasak untuk menambah jaringan, namun gagal dan keputusan kekal milik TFC 1-0.