sukan

Tak percaya boleh tanya Stuart

Pengurusan Kelantan FC menegaskan mereka tidak berdepan pelbagai masalah yang berkemungkinan pasukan itu berisiko untuk tidak mendapat lesen kebangsaan bagi bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemiliknya, Norizam Tukiman menjelaskan pihaknya sudah melengkapkan hampir keseluruhan dokumentasi yang diperlukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali gus memberi bayangan pasukan itu akan terus beraksi dalam kancah tempatan, tahun depan.

“Kita hanya tinggal empat peratus saja lagi untuk melengkapkan dokumentasi diperlukan MFL dan ini pun hanya membabitkan pasukan bawahan.

“Jika tidak percaya, boleh tanya sendiri Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam sama ada Kelantan FC bermasalah atau sebaliknya,” kata Norizam.

Terdahulu, Kelantan FC berdepan isu tunggakan gaji pada musim ini sekali gus berdepan prospek untuk menerima nasib yang sama seperti Melaka United dan Sarawak United jika masalah kewangan itu tidak diselesaikan sehingga hujung musim ini.

Sebagai rekod, Melaka United (MU) dan Sarawak United gagal mendapat lesen kebangsaan untuk bertanding bagi musim 2023 apabila tidak memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MU didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

SUFC pula didapati gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di mana keputusan dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

Stuart juga sebelum ini mengharapkan Kelantan FC dapat memahami isu tunggakan gaji dihadapi pasukan itu dengan serius dan dapat menyelesaikan masalah terbabit sebelum hujung musim ini.

“MFL serius mengenai isu ini dan kami harap kita tidak akan kehilangan pasukan pada Oktober nanti. Dengan hala tuju lembaga pengarah MFL, kita ambil serius dengan apa-apa kekurangan daripada isu gaji pada musim ini.

sumber:- BH

“Isu Kelantan FC menjadi tular tetapi kami harap mereka boleh selesaikan perkara ini. Mereka tidak ada masalah pada tahun lepas tetapi ia berlaku pada tahun ini dan saya harap ia boleh diselesaikan sebelum hujung musim,” kata Stuart.