Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mencari pengganti E Elavarasan yang melepaskan jawatannya selaku pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, kelmarin.
Menurut sumber, badan induk itu sedang mempertimbangkan beberapa calon bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Elavarasan ketika saingan Piala Asia B-23 di Qatar berbaki tujuh bulan dari sekarang.
Begitupun, menurutnya, apa yang pasti barisan kejurulatihan itu nanti bakal menyaksikan gabungan kepakaran import dan tempatan dalam skuad Harimau Muda itu.
Jelasnya, jika ketua jurulatih diberikan kepada pengendali import, bermakna anak tempatan akan dilantik sebagai penolong.
Katanya, jika jurulatih tempatan pula diberikan tanggungjawab sebagai pengendali, manakala tenaga import pula penolong.
“FAM sudah menemui beberapa calon. Ia masih di peringkat penilaian dan tak lama lagi akan diketahui calon pengganti Elavarasan.
“Cuma yang pasti, calon berkenaan bukan saja jurulatih luar, tapi ada jurulatih tempatan. Mungkin ada gabungan kerana FAM nak pastikan kepakaran itu dikongsikan secara bersama,” kata sumber itu.
Difahamkan, antara nama dikaitkan adalah penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya, Pau Marti Vicente apabila beliau dilihat calon paling sesuai kerana amat mengenali falsafah permainan ketua jurulatih, Kim Pan-gon.
Pau Marti memiliki pengalaman cukup luas apabila pernah menjadi pembantu jurulatih skuad B-18 Barcelona pada 2017 dan pernah diberi tanggungjawab untuk menjadi pembantu jurulatih skuad B-19 dan Barcelona B.
Selain itu, nama penolong jurulatih kepada Elavarasan iaitu Juan Torres Garrido turut disebut-sebut apabila beliau mempunyai pengalaman luas di Sepanyol serta memiliki lesen kejurulatihan Lesen A Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Jawatan terakhirnya sebelum datang ke Malaysia adalah ketua bola sepak remaja profesional B-23 bersama Granada CF selain pernah berkhidmat di Barcelona.
Manakala antara calon tempatan dikaitkan adalah penolong jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil; pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar dan bekas penolong jurulatih B-19 negara, Noor Zaidi Rohmat.