Selepas dibelasah Kawasaki Frontale 0-5 pada musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang membalas dendam ke atas kelab Jepun itu apabila mereka berentap pada aksi pertama Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam esok.
Pengendali JDT, Esteban Solari jelas tidak mahu detik hitam yang dialami musim lalu berulang dengan menuntut anak buahnya memperagakan aksi terbaik bagi menebus kekalahan itu sekali gus membuka kempen kali ini dengan langkah kanan.
“Tidak dinafikan Kawasaki Frontale kelab yang kuat kerana mereka bersaing di liga yang cukup kompetitif selain jurulatih mereka (Toru Oniki) sudah enam tahun membimbing pasukan sekali gus mereka dilihat sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan I.
“Apapun kami akan sahut cabaran untuk memberi saingan dan berusaha untuk tingkatkan lagi kualiti permainan kerana ia berbeza apabila beraksi di pentas liga domestik dan saingan bertaraf Asia dan pastinya intensiti permainan juga harus lebih tinggi,” kata Solari.
Pada musim lalu, saingan peringkat kumpulan ACL diadakan secara berpusat dan semua perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.
Berdasarkan rekod pertemuan JDT dan Kawasaki Frontale musim lalu menyaksikan JDT yang ketika itu dibimbing Benjamin Mora seri 0-0 pada aksi pertama sebelum tewas 0-5 pada aksi timbal balik.
Selain Kawasaki Frontale, skuad Harimau Selatan turut diundi bersama Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan BG Pathum United kelab dari Thailand.
Sementara itu, Solari menyifatkan kehadiran semula Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo tepat pada masanya menjelang aksi menentang kelab Jepun itu.
sumber:- BH
“Forestieri baru mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan sejak tiga hari lalu manakala Diogo sudah 10 hari menjalani latihan tapi saya perlu lihat tahap kecergasan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada menyenarai mereka dalam kesebelasan utama,” katanya.