sukan

KL City FC atasi Sri Pahang FC

KL City FC membawa bekalan tipis menuju ke suku akhir kedua Piala Malaysia menerusi kemenangan 1-0 ke atas Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan ini menyaksikan peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan merebut slot ke separuh akhir dengan suku akhir kedua akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, minggu depan.

Sebagai rekod, pemenang pertembungan ini akan menentang pemenang antara Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC (SFC) di separuh akhir dengan TFC kini mendahului 2-0 secara agregat.

Permainan seimbang diperagakan kedua-dua pasukan namun peluang terbaik dimiliki SPFC seawal minit keenam apabila hantaran lolos Kuvondik Rusiev menemui Kpah Sherman namun percubaannya diselamatkan Kevin Ray Mendoza.

Penjaga gol SPFC, Izham Tarmizi Roslan cemerlang menafikan dua percubaan berturut-turut pada minit ke-14 menerusi tandukan Paulo Josue dan rembatan Tchetche Kipre sebelum Izham turut menepis percubaan Zhafri Yahya seminit berselang.

Permainan bertambah rancak selepas rehat yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan namun tiada percubaan yang mampu diterjemahkan sebagai gol untuk mengubah kedudukan perlawanan.

KL City FC mendapat peluang keemasan menerusi sepakan percuma pada sudut yang baik pada minit ke-54 namun hantaran Paulo Josue ke arah kotak penalti gagal disambut mana-mana pemain tuan rumah.

Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disudahkan Romel Morales pada minit ke-72 selepas Josue dijatuhkan pertahanan SPFC, Syazwan Andik Ishak.

sumber:- BH

KL City FC tersentak apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-82 apabila Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua sekali gus menyaksikan dia diperintahkan keluar padang.