sukan

Kelantan FC dalam Risiko besar

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi baya­ngan Kelantan FC berisiko tidak diberi lesen kebangsaan yang membolehkan mereka beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan jika gagal menyelesaikan isu kewangan.

Situasi itu sama seperti yang dialami Sarawak United dan Melaka United yang gagal memperoleh lesen musim ini kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022, sekali gus tidak layak untuk bertanding di Liga Super.

Dengan situasi dan kemelut yang melanda Kelantan FC ketika ini, The Red Warriors (TRW) bukan sahaja berdepan kebimbangan menamatkan musim di kedudukan tercorot liga, malah lebih menakut tidak layak langsung beraksi dalam liga utama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, MFL amat bertegas dalam isu kewangan bagi memastikan integriti dan kestabil­an Liga M sentiasa dijaga.

“Musim lalu MFL pastikan dua pasukan (Melaka United dan Sarawak United) yang mempunyai masalah tidak menerima lesen.

“Kita mahu Kelantan tahu MFL serius menghadapi isu bayaran tertunggak dan harap mereka boleh selesaikan perkara ini kerana musim lalu mereka tidak bermasalah tetapi tahun ini ia berlaku, sekatan lesen adalah tindakan terakhir dan bila perlu,” katanya.

Sarawak United dan Melaka United bukanlah pasukan pertama disingkir dari Liga Super apabila sebelum ini Felda Uni­ted dan UKM FC turut menerima nasib yang sama pada 2020.

Stuart berkata, pihaknya sentiasa terbuka bekerjasama dengan Kelantan FC dan mana-mana pasukan untuk membantu apa yang diperlukan bagi menyelesaikan apa jua masalah yang timbul.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) dan Kawalan Kewangan Bersih (FFP) sedang dibincangnya untuk dilaksanakan dalam Liga M seperti disarankan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Satu kajian dalaman sedang dijalankan di peringkat dalaman MFL untuk memastikan kami juga membawa satu sistem ‘hybrid’ yang perlu kita ambil untuk Liga M,” katanya.