sukan

Perak FC cipta kejutan

Sabah FC gagal mendapat bekalan selesa untuk ke perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 apabila sekadar seri 2-2 dengan Perak FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Likas, malam tadi.

Kedudukan itu sekali gus menjadikan perlawanan kedua nanti lebih sengit kerana masing-masing pasti melakukan yang terbaik untuk memastikan dapat melangkah ke pusingan seterusnya.

Dalam aksi malam tadi, Sabah memulakan jaringan seawal minit keempat permainan menerusi tandukan Darren Lok hasil hantaran Kwang Min Ko yang berjaya menewaskan penjaga gol Perak, T Shaheeswaran.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya mampu bertahan enam minit sebelum Perak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi kaptennya, Luciano Guaycochea pada minit ke-10.

Usaha pemain kedua-dua pasukan selepas itu gagal menambah sebarang gol walaupun masing-masing melakukan beberapa cubaan berbahaya sehingga tamat separuh masa pertama.

Beralih ke babak kedua, Sabah sekali lagi mencipta gol awal, hanya beberapa saat selepas perlawanan bermula hasil tandukan Ramon Machado yang menerima hantaran Saddil Ramdani.

Gol pada minit ke-45 itu meletakkan Sabah buat seketika di hadapan dengan kedudukan 2-1, namun sama seperti babak pertama, Perak berjaya lagi menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian.

Kedudukan 2-2 pada minit ke-54 itu hasil gol disumbangkan Wan Zack Haikal selepas menerima bola daripada sepakan sudut sebelum berjaya dihalakan dengan tepat ke arah gawang Sabah.

Tertekan dengan situasi itu, pemain Sabah mula bertindak agresif bermula 20 minit sebelum masa tamat sehingga lima minit masa kecederaan, namun tetap gagal mencipta sebarang gol.

sumber:- BH

Peluang diperolehi Sabah melalui serangan demi serangan menjelang penghujung masa permainan hingga mencetuskan beberapa kali situasi cemas di hadapan gawang Perak gagal dimanfaatkan dengan baik.