K Devan tetap memuji persembahan pemainnya walaupun tewas 3-0 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Jurulatih Negeri Sembilan FC itu menegaskan tanggapan sesetengah pihak pasukannya akan beraksi secara ‘parkir bas’ ternyata meleset sebaliknya mereka mempamerkan semangat juang tinggi dan mengimbangi kekuatan lawan.
“Walaupun kami tiada ramai import, tapi pemain saya berjaya tunjukkan persembahan bertenaga dan semangat juang tinggi, dari segi taktikal kami boleh pegang bola dan ada ketikanya melakukan serangan.
“Kesannya pasukan lawan tidak dapat berpesta gol dan penjaga gol JDT (Syihan Hazmi Mohamed) tidak duduk diam kerana terpaksa menyelamatkan beberapa percubaan pemain kami.
“Kami tidak pernah kalah besar walaupun turun dengan hanya seorang atau dua pemain import kecuali tewas 7-0 kepada JDT pada peringkat awal saingan Liga Super.
“Bayangkan jika kami ada tiga atau empat pemain import berkualiti seperti JDT, sudah tentu pasukan ini mampu pergi jauh, malah kekalahan malam ini pun bukan bermakna prestasi kami terlalu teruk kerana gol kedua dan ketiga mereka boleh dipersoalkan,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Arif Aiman Hanafi menjaringkan gol pertama pada minit ke-19 sebelum Bergson da Silva menambah dua gol pada m-30 (penalti) dan m-90.
Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang membawa bekalan tiga gol ke Stadium Sultan Ibrahim.
Jurulatih dari Argentina itu berkata, kemenangan itu tidak mudah tetapi ia hasil kerja keras selama lebih dua minggu membuat persiapan.
sumber:- BH
“Pemain menunjukkan sikap positif apabila terus fokus untuk mendapatkan gol sebaik aksi bermula dan saya gembira dengan komitmen mereka,” katanya.