sukan

Sasaran Kim Pan-gon bukan hanya setakat semalam

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui pasukannya sedang melakar sejarah buat bola sepak Malaysia dengan menyasarkan kedudukan tertinggi dalam ranking Fifa.

Keyakinan jurulatih berasal dari Korea Selatan itu selepas melihat anak didiknya mampu bersaing dengan dua pasukan di kelompok 100 dunia terbaik apabila mengikat Syria 2-2 dan China 1-1, dengan kedua-duanya menghuni tangga 94 dan 80 dunia.

Sebaliknya skuad negara yang hanya mengisi kedudukan 136 dalam ranking Fifa dilihat beraksi lebih meyakinkan, malah hampir mengejutkan dua pasukan terbabit pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China itu.

“Menang atau kalah itu tidak penting, prestasi kami adalah yang paling penting. Sasaran kita sudah ada, kita cuba mencipta satu lagi sejarah untuk berusaha berada pada ranking lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas aksi dengan China di Stadium Phoenix Mountain, di Chengdu, malam tadi.

Mengulas mengenai prestasi setiap pemain, Pan-gon nyata berpuas hati sambil mengakui kagum dengan semangat dan kesungguhan barisan pemain.

“Ia adalah perlawanan yang sangat bagus menentang pasukan China yang lebih kuat dan berada di peringkat tinggi, kami juga banyak belajar daripada perlawanan ini. Saya sangat berbangga dengan semua pemain.

“Apa yang mereka lakukan sungguh membanggakan rakyat Malaysia, ia harus dihormati. Sebagai jurulatih, saya tiada aduan, apa yang mereka lakukan adalah hebat. Bagi pasukan kami, ia adalah keputusan yang sangat baik,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, pemain sayap Faisal Halim meletakkan Malaysia di hadapan seawal minit ke-11 sebelum Lin Liangming menyamakan kedudukan untuk China pada minit ke-36.

Hasil dua keputusan itu, ia menyaksikan rekod bersih skuad kendalian Pan-gon kekal tanpa kekalahan sepanjang musim ini yang sudah melalui enam aksi antarabangsa.

sumber:- HM

Selepas ini, Malaysia akan menyertai Pestabola Merdeka pada bulan depan sebelum bersaing di Kelayakan Piala Dunia 2026 (November) dan Piala Asia di Qatar (Januari depan).