sukan

Harimau Muda ‘mengamuk’ baham Filipina

Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara membuka peluang cerah untuk merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan apabila membelasah Filipina 4-0 dalam kempen kelayakan, sebentar tadi.

Pada aksi kedua Kumpulan H di Stadium Chonburi, Thailand, Harimau Malaya B-23 bermula garang apabila hanya memerlukan 27 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi yang menyudahkan umpanan Fergus Tierney.

Belum sempat Filipina bertenang, anak buah E Elavarasan menambah gol kedua lima minit kemudian apabila hantaran lintang Luqman Hakim Shamsudin ke dalam kotak penalti pula disempurnakan T Saravanan.

Tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar meletakkan skuad negara lebih selesa apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Filipina, Dimitri Macapagal buat kali ketiga pada minit ke-23.

Skuad negara yang berdepan cabaran lebih sengit dari Filipina pada babak kedua bagaimanapun berjaya menambah gol keempat menerusi Saravanan pada minit ke-62, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Malaya B-23.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Elavarasan merekodkan kemenangan bersih dalam dua aksi awal kelayakan selepas menewaskan Bangladesh 2-0 dalam perlawanan pembukaan, Rabu lalu.

Skuad negara akan membuat perhitungan dengan tuan rumah Thailand di gelanggang sama, Selasa ini dengan aksi terakhir Kumpulan H itu menjadi penentu juara kumpulan.

sumber:- BH

Mengikut format pertandingan, 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat naib juara terbaik kumpulan dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di pusingan akhir.