sukan

Komen Pengendali skuad bawah 23 menjelang aksi Pertama

Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, E Elavarasan mengakui kehadiran barisan pemainnya kali ini adalah untuk memenuhi sasaran layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, pada April tahun depan.

Katanya, biarpun menyedari bukan mudah untuk melepasi halangan pada Kelayakan Piala Asia B-23 di Bangkok, namun pemainnya akan berusaha sedaya upaya bagi melayakkan diri ke Qatar nanti.

Malah, peminat juga meletakkan harapan tinggi di bahu setiap pemain untuk muncul antara pasukan terbaik yang beraksi di pentas Piala Asia tahun depan.

“Kita datang dengan sasaran yang sama untuk melepasi peringkat kelayakan ini dan maju ke pusingan akhir.

“Di pihak kita, harapan peminat bola sepak di negara tinggi. Kita datang ke sini, akan lakukan sebaik mungkin bagi mencapai harapan seluruh peminat.

“Walaupun kita akan lalui cabaran yang sukar, tapi kita mahu pergi lebih jauh dalam kempen ini,” katanya pada sidang media praperlawanan bagi Kumpulan H di Bangkok, Thailand hari ini.

Malaysia dijadual turun menentang Bangladesh di Stadium Chonburi petang esok, sebelum bertemu Filipina Sabtu ini, juga di venue dan waktu sepak mula yang sama.

Ujian sebenar skuad Harimau Muda dijangka pada aksi terakhir kumpulan menentang Thailand di venue sama pada Selasa ini yang akan berlangsung malam.

Menurut Elavarasan lagi, beliau berharap kehadiran beberapa tonggak berpengalaman yang dipanggil semula seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal akan dapat memperkuatkan pasukan.

sumber:- HM

“Pasukan Malaysia juga menggunakan kaedah sama membuat penggiliran pemain, memanggil pemain yang berpengalaman, dan kita harap pemain akan lakukan terbaik dalam kejohanan ini,” katanya.