sukan

Azam Azih bangkit dengan penuh kental

Laluan berliku sebagai pemain bola sepak profesional dengan pernah terfikir menggantung but empat tahun lalu akibat kecederaan tidak melunturkan semangat pemain tengah negara Nor Azam Azih untuk terus berbakti bersama skuad Harimau Malaya.

Azam yang pada satu ketika bergelut kecederaan hamstring dan Medial Collateral Ligament (MCL) mengakui mahu bersara daripada bola sepak sebelum bangkit sehingga mendapat kepercayaan pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon untuk beraksi pada perlawanan persahabatan menentang China dan Syria pada 6 serta 9 September ini.

Katanya, walaupun kecederaan terbabit masih ‘membayangi’ dirinya, namun dia bertekad tampil berbeza pada perlawanan persahabatan kali ini dengan mempamerkan aksi lebih memukau seterusnya membantu skuad kebangsaan mencipta keputusan positif.

“Saya diberi peluang main kali ini akan buat yang terbaik kerana pada aksi persahabatan di Johor sebelum ini permainan ditampilkan agak ‘down’.

“Sekarang ini memang ada rasa tapi saya cuba lupakan semua itu (kesakitan) kerana apabila kita cedera otak memainkan peranan.”Pada empat atau lima tahun lalu memang saya rasa ‘down’ dan terfikir untuk berhenti main bola namun bangkit kembali untuk buktikan sesuatu kepada semua,” katanya, pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.

Selain itu, Azam yang juga tonggak Sri Pahang FC mengakui corak latihan ditampilkan Pan Gon pada kali ini agak berbeza sekali gus sukar untuk dirinya mengikuti pada peringkat awal.

“Kalau kita lihat taktikal ditampilkan barisan kejurulatihan untuk skuad kebangsaan agak laju sekali gus pada peringkat awal susah untuk saya ikut.

sumber:- HM

“Namun, sekarang ini sudah biasa dengan situasi berkenaan dan mengharapkan kita mampu cipta keputusan positif pada pertemuan menentang China serta Syria,” katanya.