sukan

Kim Pan-gon tidak mahu barisan pemain ‘rosak’

Barisan pemain skuad Harimau Malaya tidak akan melalui perubahan ketara sebagai persediaan mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023, tahun depan.

Ini kerana pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak mahu barisan pemain ‘rosak’ disebabkan terlalu banyak melakukan perubahan terhadap barisan pemain skuad kebangsaan.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan sudah memantau perkembangan pemain dalam tempoh lebih setahun sekali gus meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menggalas cabaran mengharungi dua perlawanan besar itu.

“Kita sudah menguji banyak pemain sejak satu tahun setengah ini dan mereka sudah tahu karakter, DNA dan falsafah bola sepak yang kita terapkan dalam skuad kebangsaan.

“Terlalu banyak perubahan mendatangkan risiko kerana ini adalah pentas yang sebenar untuk mereka menunjukkan persembahan yang terbaik.

“Sudah tentu kalau ada pemain yang betul-betul baik, kita akan panggil tetapi jika tidak, lebih baik pemain yang sudah mengetahui taktikal dan perancangan kita dengan sebaiknya.

“Sebab itulah kita sangat pentingkan jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang akan datang,” katanya.Sebagai rekod, skuad kebangsaan dalam rangka persiapan untuk mengharungi dua aksi persahabatan menentang Syria dan China, masing-masing pada 6 dan 9 September di Chengdu, China.

Kemudian, mereka akan terbabit dengan aksi Pestabola Merdeka di laman sendiri bermula 13 hingga 17 Oktober yang menyaksikan mereka akan membuka kempen berdepan India.

Pada bulan November pula, mereka akan membuka kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di laman sendiri (16 November) disusuli Chinese Taipei atau Timor-Leste (21 November).

sumber:- HM

Aksi Piala Asia 2023 menanti mereka di Qatar bermula 12 Januari di mana mereka diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.