Aksi bola sepak domestik berehat seketika bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa dengan skuad Harimau Malaya turut bakal sibuk bagi mengharungi dua aksi persahabatan di China, bulan depan.
Dijadual berlangsung di Chengdu, China, skuad bimbingan Kim Pan Gon akan menentang pasukan di ranking ke-94, Syria pada 6 September disusuli berdepan China yang berada di ranking ke-80, tiga hari berikutnya.
Dua aksi persahabatan ini boleh menjadi petunjuk kepada sejauh mana kemampuan skuad Harimau Malaya menentang pasukan yang berada dalam kelompok ke-100 dunia selepas sentiasa menguji pasukan yang hampir setara.
Bukan lagi pertembungan mudah seperti dua aksi pada Jun lalu yang menyaksikan mereka mudah membenam Kepulauan Solomon 4-0 dan Papua New Guinea 10-0; Syria dan China pasti tidak ‘selembik’ itu.
Namun, berdasarkan senarai pemain yang dipanggil Pan Gon kali ini, statistik sedikit sebanyak memberi petanda bahawa skuad kebangsaan begitu ‘garang’ memburu gol dan mungkin membuatkan Syria dan China perlu lebih berhati-hati.
Berdasarkan statistik ke atas 24 pemain yang beraksi dalam liga tempatan tidak termasuk Dion Cools dan Junior Eldstal yang beraksi di liga luar, mereka terbabit dalam 129 gol secara keseluruhan menerusi jumlah jaringan dan bantuan gol buat pasukan masing-masing.
Daripada jumlah keseluruhan 129 gol dilakar dalam semua pertandingan domestik setakat ini, 76 daripadanya adalah gol dan 53 adalah bantuan gol sekali gus membuktikan skuad kali ini memiliki kualiti untuk mencabar pasukan yang berada berpuluh-puluh anak tangga di atas mereka.
Jika dinilai berdasarkan statistik, dua pemain bakal menjadi nadi utama di bahagian serangan dengan persembahan yang konsisten ketika beraksi bersama pasukan masing-masing.
Dua pemain itu adalah Arif Aiman Hanapi yang berjaya meledak 11 gol dan 11 bantuan gol, begitu juga Faisal Halim dengan 11 gol dan tujuh bantuan gol dalam semua pertandingan setakat ini.
Selain itu, skuad kebangsaan turut memiliki beberapa perancang dengan rekod bantuan gol yang baik pada panggilan kali ini antaranya Brendan Gan (tujuh), Paulo Josue (empat) serta Endrick dos Santos dan Sergio Aguero (tiga).
Sementara itu, ‘mesin gol’ di bahagian pertahanan adalah La Vere Corbin Ong dan Daniel Ting yang membantu pasukan masing-masing meledak lima gol dan dua bantuan gol setakat ini selain Sharul Nazeem Zulpakar (dua gol dan satu bantuan gol) serta Quentin Cheng (tiga bantuan gol).
sumber:- BH
Beberapa pemain menutup aksi terakhir liga sebelum menyertai skuad kebangsaan dengan jaringan gol iaitu Sharul, Faisal, Arif Aiman, Josue dengan satu gol dan Aguero dengan dua gol.