Impian beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Mereka bagaikan tidak mempunyai jawapan yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan kepada gandingan keenam dunia itu 21-23, 13-21 di Royal Arena.
Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia memulakan perlawanan dengan baik, sehingga mendahului 19-15 namun Min Hyuk-Seung Jae menunjukkan kebangkitan semangat juang tinggi untuk menafikan kemenangan mereka.
Rentak permainan Aaron-Wooi Yik seperti sudah dapat dibaca apabila Min Hyuk-Seung Jae terus bangkit di set kedua untuk melakar kemenangan 21-13.
Min Hyuk-Seung Jae yang juga Terbuka Australia dan Masters Malaysia 2023 itu dijadual bertemu pilihan ke-11 kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di pentas final, hari ini.
Sebagai rekod, tahun lalu, Aaron-Wooi Yik muncul selaku pemain pertama negara yang meraih gelaran dunia di Tokyo, Jepun selepas menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.