sukan

Mampukah JDT menoktahkan `Perfect 10′ awal

Mampukah Johor Darul Ta’zim (JDT) menoktahkan `Perfect 10′ bagi menjuarai Liga Super kali ke-10 berturut-turut lebih awal apabila berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam esok.

Persoalan itu terletak kepada perancangan taktikal ampuh bakal dijelmakan pengendali JDT, Esteban Solari untuk menjadi saksi keunggulan skuad yang bergelar Harimau Selatan menjulang kejuaraan liga di tempat lawan walaupun sedar ia ibarat pertemuan buku dan ruas.

Selepas mengharungi 20 perlawanan liga dan mengutip 60 mata maksimum apabila menang kesemuanya, JDT hanya memerlukan tiga mata sahaja lagi yang ditawarkan sebelum dinobatkan juara liga musim ini.

Solari sedar betapa skuad bimbingan Nafuzi Zain itu sanggup melakukan apa sahaja bagi menyekat hajat pasukan Harimau Selatan untuk berpesta di gelanggang keramat mereka bagi meraikan kejayaan untuk kali ke-10 berturut-turut sejak musim 2014.

“Kami sedar ini perlawanan penting buat JDT dan kami hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi menamatkan saingan musim ini dan bergelar juara, ia tidak ubah persis aksi perlawanan final buat kami.

“Kami juga sedar bahawa Kedah tidak akan memberi kami laluan mudah untuk muncul juara, setidaknya bukan di laman mereka. Jadi, kami perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan apa sahaja helah yang mereka akan gunakan.

“Sudah tentu pasukan bimbingan Nafuzi itu akan memberi tekanan hebat dan dalam masa sama JDT juga akan bermain bermati-matian untuk memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong, sesuatu yang tidak pernah terjadi pada musim ini,” kata Solari.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, dia sudah membuat persiapan rapi sejak Isnin lalu bagi memastikan pemain berada di tahap terbaik dan merencana strategi ampuh bagi memastikan misi mengutip tiga mata tidak akan lebur.

Bekas penolong jurulatih skuad bawah 23 tahun Argentina itu berkata, dia menuntut setiap pemain untuk menyemarakkan lagi mentaliti juara yang diterap sepanjang musim ini dan bersedia untuk beraksi dengan intensiti permainan tinggi dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

sumber:- BH

Tambahnya, kesemua pemain Harimau Selatan kini berada di tahap yang terbaik selepas berjaya mencatatkan rekod jaringan terbesar musim ini apabila menewaskan Kelantan FC 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia, Sabtu lalu.