Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu memburu keputusan positif apabila turun berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Penang FC, Selasa lalu, Sang Kenari kini sedia memberi fokus pada aksi lebih mencabar di laman sendiri berdepan skuad Harimau Selatan.
“Sudah pasti kami mahu teruskan fokus kami selepas meraih lima kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Super sebelum ini, malah kami juga teruja untuk berdepan JDT sekali lagi.
“Kami sedar ia adalah satu cabaran besar dan tugas berat yang perlu dihadapi berdepan pendahulu Liga Super, namun sebagai tuan rumah kami juga bertekad mahukan satu keputusan yang positif dan kalau boleh kami mahukan tiga mata di sini selepas dikecewakan pada aksi pertama di tempat lawan, April lalu,” katanya.
Dalam pada itu Nafuzi juga mengakui skuadnya perlu melipatgandakan usaha sepanjang tempoh 90 minit bagi memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.
“Walaupun mencapai momentum dengan lima kemenangan sebelum ini, masih terdapat kelemahan yang perlu kami perbaiki apabila kembali semula ke padang latihan disamping perlu meningkatkan lagi aspek mental dan fizikal untuk berdepan JDT.
sumber:- HM
KDA FC yang kini berada di tangga ketiga dengan mengumpul 43 mata, tewas 0-6 kepada skuad kendalian Esteban Solari ketika aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 April lalu.