sukan

Malaysia buru sejarah baharu

Malaysia bukan sahaja tidak pernah merangkul kejuaraan, malah tidak pernah mara ke perlawanan akhir sejak Kejohanan AFF bawah 23 tahun (B-23) diperkenalkan pada 2005.

Menentang juara bertahan, Vietnam dalam separuh akhir di Rayong, Thailand hari ini tugas yang amat getir buat anak-anak buah E. Elavarasan, namun pada masa sama peluang terbaik mereka untuk memahat sejarah melayakkan diri ke final buat kali pertama, sekali gus memenuhi sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagi Elavarasan, di atas kertas Vietnam mempunyai kelebihan dan dianggap pilihan kerana dibarisi ramai pemain berkualiti, namun Malaysia juga mampu melakar kejutan jika bermain dengan disiplin tinggi, dan menunjukkan prestasi terbaik mereka.

Kata Elavarasan, jurulatih Vietnam, Hoang Anh Tuan adalah kekuatan utama pasukan itu, kerana mereka sentiasa tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya amat mengaguminya jurulatih mereka dan bagi saya jurulatih adalah kekuatan utama Vietnam.

Pada masa sama, Elavarasan berkata perlawanan itu akan menjadi cabaran besar buat Malaysia memandangkan Harimau Muda sudah lama tidak berdepan Vietnam.

Kali terakhir Harimau Muda bertemu Vietnam ialah pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu apabila Malaysia tewas tipis 1-2.

Jika skuad Harimau Muda mencatat kemenangan dalam perlawanan menentang Vietnam di Stadium Wilayah Rayong, menanti mereka dalam perlawanan akhir sama ada Thailand atau Indonesia.

“Di rantau Asia Tenggara, Vietnam pasukan yang bagus. Pemain-pemain Vietnam juga berkualiti dan mereka sering memperoleh kejayaan dalam kejohanan yang disertai mereka, namun kami akan memberi tentangan paling sengit,” kata Elavarasan.