ohor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi diundi bersama juara dua kali Liga Juara-Juara Asia (ACL), Ulsan Hyundai FC dan kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I saingan ACL musim ini.
Musim lalu, ketiga-tiga pasukan itu turut berada dalam Kumpulan I yang mana skuad Harimau Selatan muncul juara kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati.
Pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, hari ini, satu lagi pasukan yang turut diundi dalam Kumpulan I adalah naib juara Liga 1 Thai musim lalu, BG Pathum United FC.
Jika melihat kepada sejarah di pentas ACL musim lalu dan prestasi semasa JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, tidak mustahil skuad kendalian Esteban Solari itu mampu melepasi cabaran peringkat kumpulan ACL.
Bagaimanapun, pentas ACL musim ini dijangka lebih mencabar buat JDT memandangkan ia akan dilangsungkan secara timbal balik, berbeza pada kempen tahun lalu yang diadakan secara berpusat dengan Harimau Selatan menjadi tuan rumah bagi Kumpulan I.
Ketua jurulatih JDT, Esteban Solari mengakui bahawa saingan ACL sangat berbeza berbanding Liga M kerana kejohanan itu disertai kelab terbaik Asia dan membabitkan pemain berkualiti tinggi.
“Tentu sekali kumpulan yang sukar berada bersama kelab dari Jepun, Korea Selatan dan Thailand yang mana mereka adalah pasukan pilihan. Semua tahu kita akan berdepan perlawanan yang sukar.
“Kami kena fikirkan untuk menyediakan pasukan terbaik dari segi taktikal dan mental. Kami lihat peluang tetap ada dan harus diingat format (ACL) musim ini tidak sama seperti tahun lalu,” katanya.
Saingan ACL musim lalu menjadi sejarah buat Harimau Selatan apabila mara ke pusingan kalah mati kejohanan tertinggi Asia itu buat kali pertama.
Juara bertahan Liga Super sembilan kali berturut-turut itu muncul juara kumpulan selepas mengumpul 13 mata hasil daripada empat kemenangan, satu seri dan tewas sekali.
Ketika itu, JDT yang juga juara Piala AFC 2015 berjaya menewaskan Ulsan Hyundai sebanyak dua kali menerusi keputusan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan selain seri sekali dan tewas sekali berdepan Kawasaki Frontale.
sumber:- BH
Selain itu, Harimau Selatan turut merekodkan dua kemenangan ke atas Guangzhou FC untuk muncul juara kumpulan sebelum tewas 0-5 kepada juara, Urawa Red Diamonds di peringkat 16 terbaik.