Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, sebentar tadi.
Kian Meng-Pei Jing yang berada di ranking ke-21 dunia hanya memerlukan 21 minit untuk mengenepikan pasangan Maldives, Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq 21-4, 21-6 di gelanggang Royal Arena.
Ia pertembungan sulung Kian Meng-Pei Jing dengan beregu di ranking ke-84 dunia itu dan esok mereka dijadual bertemu pilihan ke-12 dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.
Supak-Supissara mara ke pusingan kedua selepas mendapat bye di pusingan pertama.
Esok kali keenam Kian Meng-Pei Jing menentang pasangan jiran itu dengan rekod kemenangan memihak kepada Supak-Supissara 3-2.
Kali terakhir Supak-Supissara meraih kemenangan ke atas Kian Meng-Pei Jing adalah di pusingan pertama Masters Malaysia 2023, menyaksikan mereka melakar kemenangan 22-20, 22-20 dalam tempoh 44 minit.