Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari, berpuas hati dengan penampilan pertama pemain import baru, Takahiro Kunimoto, ketika membenam Kelantan FC 10-0 (agregat 15-1) dalam aksi kedua pusingan 16, Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam kelmarin.
Menurutnya, selain mempamerkan aksi mantap, pemain kelahiran Jepun berusia 25 tahun itu turut meledak dua gol bagi membantu juara bertahan itu melakar kemenangan penuh bergaya ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, katanya, Kunimoto masih memerlukan masa selain minit permainan bagi memantapkan lagi aksinya selepas ini.
“Bagi saya dia seorang pemain yang baik dan pantas menyesuaikan diri dengan corak taktikal pasukan, walaupun tidak beraksi bagi tempoh 90 minit.
“Dia juga bijak mencari ruang kosong, bertindak pantas selain mampu melakukan hantaran berbahaya selain melakukan bantuan gol kepada rakan sepasukan seperti yang dilakukannya kepada Bergson (Da Silva) dalam perlawanan ini,” ujarnya.
Untuk rekod, JDT menewaskan Kelantan 5-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 4 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Solari nyata berpuas hati dengan prestasi keseluruhan yang dipamerkan kesebelasan skuad Harimau Selatan itu ketika membelasah Kelantan FC.
Malah, pengendali kelahiran Argentina itu turut berbangga apabila hasil rombakan yang dilakukannya dengan menurunkan pemain-pemain yang jarang beraksi membuahkan hasil apabila mereka mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.
“Saya bangga menyaksikan pemain-pemain yang diturunkan hari ini (malam tadi) memberikan aksi bertenaga bagi menghasilkan kemenangan ‘besar’ seperti ini.
“Malah, apa yang lebih membanggakan adalah mereka ini turut menjaringkan gol dalam perlawanan ini, seperti Daryl Sham (George), Asyar Hadi (Shapri) selain Safawi (Rasid), Syahmi (Safari) dan Safiq (Rahim), nyata cukup menyerlah.
“Selain itu, mereka turut membentuk persefahaman mantap yang sekali gus menyukarkan Kelantan melakukan serangan berbahaya,” katanya.
sumber:- SA
Jelasnya, secara keseluruhannya, latihan intensif dan berintensiti tinggi yang diterapkan turut berperanan membantu pemain dalam perlawanan berkenaan.