Semua perlu bertanggungjawab — Cheng Hoe

Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menegaskan setiap individu dalam skuad itu harus bertanggungjawab terhadap kekalahan 1-2 kepada PDRM pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia, Kelmarin.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu tampak terlalu kecewa dengan kekalahan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) walaupun pasukannya tetap layak ke pusingan suku akhir menerusi agregat 5-3.

Justeru, dia mengingatkan barisan pemain Gergasi Merah supaya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan mana-mana pasukan dalam perlawanan akan datang.

“Kita lihat perlawanan ini memihak kepada kekuatan fizikal pemain PDRM, sebab itu kami tidak boleh urus permainan dengan baik. Namun, yang penting kami layak ke pusingan seterusnya.

“Sejak babak pertama dari segi penguasaan bola, fokus dan komunikasi antara satu sama lain kami kurang baik.

“Walaupun kami mendapat gol pertama, namun kami gagal kawal tempo dan permainan, sebab itu kami dibolosi gol. Pada minit akhir kami leka dari segi kawalan bola yang menyebabkan PDRM ambil kesempatan jaringkan gol,” katanya.

Mengulas mengenai pertembungan suku akhir dengan Terengganu, Cheng Hoe menjelaskan masih terlalu awal untuk pasukannya mencorak strategi kerana aksi itu akan berlangsung pada pertengahan bulan depan.

“Walaupun kami ada rekod baik (berdepan Terengganu), tetapi itu tidak memberi jaminan bahawa kami boleh menang dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, pengendali PDRM, Datuk Yunus Alif tetap bersyukur pasukannya dapat meraih kemenangan ke atas Selangor meskipun tidak berjaya lolos ke suku akhir.

sumber:- BH

Dia berkata, fokus selepas ini adalah untuk membentuk kombinasi lebih baik dalam skuad itu bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Liga Super.