Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong percaya, Malaysia tidak layak mendapat penalti ketika pasukannya kalah 1-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Kejohanan AFF Bawah 23 tahun (B-23) di Rayong, Thailand kelmarin.
Sepakan penalti yang disempurnakan Fergus Tierney pada minit ke-54 membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan selepas Ramadhan Sananta meletakkan Garuda Muda di depan pada minit ke-28.
Kata Tae-yong, pasukannya menguasai perlawanan, malah berkali-kali menggempur pertahanan Malaysia.“Saya rasa kedua-dua pasukan mempamerkan usaha yang luar biasa. Tetapi saya mahu memberi pendapat mengenai gol pertama Malaysia yang datang daripada sepakan penalti.
“Tiada pelanggaran, pengadil mesti menilainya. Anda perlu sedar, ia bukan penalti. Gol itu mengubah perjalanan permainan,” katanya.
Biarpun tumbang dalam perlawanan pembukaan, pengendali kelahiran Korea Selatan itu percaya, peluang Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir masih terbuka.
“Terlepas memenangi perlawanan ini, kami akan terus berjuang dan melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan kejohanan.
“Bagi kami, kejohanan ini adalah pertandingan ujian, namun kami tetap mahu memberikan yang terbaik sehinggalah ia tamat,” katanya.
Garuda Muda wajib mengalahkan Timor Leste dalam perlawanan kedua hari ini untuk menghidupkan peluang mara ke peringkat empat terbaik.
Tiga juara kumpulan layak secara automatik ke separuh akhir, dan mereka akan diiringi pasukan terbaik daripada tiga kalangan naib juara.