Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman tampil memperjelaskan bahawa isu teknikal menjadi punca empat pemain import baharu The Red Warriors (TRW) tidak dapat didaftarkan dalam tempoh jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.
Norizam memaklumkan pemain import sepatutnya sudah boleh bermain untuk Kelantan, namun terdapat masalah teknikal yang memerlukan bantuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan hanya badan induk itu boleh membantu masalah TRW berkaitan Transfer Matching System (TMS) Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham menjelaskan, pengurus pasukan TRW sebelum ini hampir setiap hari menghubungi FAM meminta bantuan berkenaan sistem TMS yang tidak dapat diakses walaupun sudah menggunakan kata laluan yang betul.
Beliau berkata, pihaknya akhirnya menerima kelulusan dari FIFA untuk menggunakan email dan kata laluan baharu pada 5 Ogos dan selesai membuat pendaftaran semua pemain import baru dalam sistem berkenaan pada hari yang sama.
Malangnya, kelulusan yang diperoleh dan pendaftaran pemain baharu dibuat Kelantan FC itu sudah terlambat dengan jendela perpindahan kedua Liga M ditutup pada 1 Ogos lalu.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sebelum ini mengesahkan empat pemain import baharu Kelantan masih tidak boleh didaftarkan dan rayuan pertama badan induk itu untuk melanjutkan tempoh pendaftaran ditolak oleh FIFA.
FAM bagaimanapun sudah mengemukakan rayuan kali kedua dan masih menunggu jawapan daripada badan induk bola sepak dunia itu.
Selain itu, Zamsaham yang membuat perkongsian kronologi berkenaan di laman Facebook miliknya mendakwa FAM sudah maklum mengenai masalah sistem TMS yang dihadapi Kelantan FC dari 27 Julai lalu.
“(Pada) 7 Ogos 2023, pihak FAM ada hantar surat ke FIFA berkenaan (rayuan) lanjutan pendaftaran secara ‘general letter’. Surat ini tidak sebut berkenaan TRW Kelantan FC atau isu spesifik yang dialami Kelantan FC. (Pada) 15 Ogos 2023, rayuan oleh FAM untuk Kelantan FC khusus masalah teknikal TMS ke FIFA.
“Apapun, saya hanya mahu pemain asing saya didaftarkan. Janganlah hanya ada orang yang tidak suka akan saya atau Kelantan FC, hak untuk mendaftar pemain baru di nafikan.
sumber:- BH
“Biarlah main di padang yang sama rata. Kalau Kelantan kalah biarlah kalah kerana mutu pengadil yang adil dan FAM yang bijaksana,” katanya.