sukan

Misbun Sidek sudah memuktamadkan ‘jawapan’

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Datuk Misbun Sidek sudah memuktamadkan ‘jawapan’ untuk berpisah dengan badan induk itu secara baik.

Perkara itu diumumkan BAM dalam satu kenyataan hari ini selepas pada 9 Ogos lalu – pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad menghantar surat maklum balas daripada legenda badminton negara itu mengenai tawaran diberikan BAM untuk terus berkhidmat sehingga tamat kontrak sebenar, Disember ini.

“BAM mengesahkan bahawa Datuk Misbun Sidek sudah berpisah dengan BAM melalui penyelesaian secara baik bersama institusi itu. BAM menganggap kes itu ditutup dan kini menumpukan perhatian kepada persiapan untuk Kejohanan Remaja Dunia 2023 akan datang,” kata BAM dalam satu kenyataan.

Pada 28 Julai lalu, jawatankuasa khas ditubuhkan BAM yang dipengerusikan Timbalan Presidennya, Datuk V Subramaniam mengumumkan yang Misbun dan badan induk itu berpisah selepas kedua-duanya bersetuju secara bersama berkuatkuasa serta merta.

Namun pada 31 Julai, Misbun dalam satu sidang media mendakwa perpisahannya dengan BAM bukanlah secara persetujuan bersama seperti diumumkan badan induk itu selain berkata, keputusan berhubung perkara berkenaan sudah dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya.

BAM berusaha untuk menjernihkan kemelut bersama Misbun apabila membuat pusingan U, menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tugas selaku pengarah pembangunan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat pada hujung tahun ini, 2 Ogos lalu.

sumber:- BH

Sebelum ini, kedudukan Misbun dilaporkan bagai ‘telur di hujung tanduk’ selepas empat pemain perseorangan yang menjadi talian terakhirnya tersungkur di pusingan keempat di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia bulan lalu.