Saham Datuk Misbun Sidek kekal tinggi selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad berkata, jurulatih berusia 63 tahun itu ada menerima tawaran daripada beberapa negara termasuklah dari negara jiran yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi melatih skuad badminton masing-masing.
Bagaimanapun, katanya belum ada sebarang keputusan dibuat Misbun berhubung tawaran yang diterimanya itu kerana masih dalam tempoh bertenang.
“Sebenarnya tawaran mula datang selepas Datuk Misbun mengadakan sidang media (pada 31 Julai lalu mengenai penamatkan kontraknya lebih awal oleh BAM). Namun, ketika itu Datuk Misbun tidak mahu memikirkan mengenainya kerana mahu menyelesaikan isu dengan BAM terlebih dahulu.
“Menerusi perbualan saya dengan beliau, memang beliau masih mahu mengajar.
“Namun, pada masa yang sama beliau tidak mahu buat keputusan terburu-buru. Saya percaya apabila semua sudah kembali reda, Datuk Misbun akan pertimbangkan semua tawaran yang diterimanya kerana negara yang mengemukakan tawaran itu menunggu jawapan daripada beliau,” katanya.
BAM semalam dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan kemelut antara badan induk itu dengan Misbun selesai menerusi penyelesaian secara baik yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.
Badan induk itu, berkata fokus kini adalah terhadap persiapan skuad remaja negara yang akan menghadapi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat, bulan depan.
Difahamkan, persetujuan antara kedua-dua pihak dicapai menerusi pertemuan antara Misbun dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Isnin lalu.
“Ia adalah penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak dan Misbun tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan selepas bertemu dengan Tan Sri Norza yang mana kedua-duanya mempunyai hubungan istimewa,” kata Kamal.
Kenyataan BAM itu sekali gus mengesahkan laporan BH Sukan sebelum ini yang mana Misbun difahamkan menolak tawaran BAM untuk kembali menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.
Norza sebelum ini memohon maaf kepada Misbun susulan kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan jurulatih berkenaan berhubung penamatan kontraknya sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.
sumber:- BH
Untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan, beliau menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.