Perasaan malu dan kecewa menyelubungi penyokong Kelantan FC selepas pasukan itu diratah 0-8 oleh Terengganu FC dalam aksi Liga Super kelmarin.
Baru hendak bergembira dengan kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan, Rabu lalu, dibelasah lapan gol di Stadium Sultan Muhammad IV sukar diterima peminat The Red Warriors (TRW).
TRW Kota Bharu (TRW KB), antara kelab penyokong berpengaruh tidak nampak Kelantan boleh diselamatkan ketika liga berbaki enam perlawanan.
Kekalahan ke-16 daripada 20 perlawanan musim ini meletakkan mereka di tangga kedua tercorot liga.
“Memang ada kelompok penyokong anggap Zamburger (pemilik Kelantan, Norizam Tukiman) sebagai penyelamat bola sepak Kelantan.
“Mula-mula ayat itu boleh pakai tetapi setelah beberapa tahun pegang dan asyik kalah sehingga 7-0 atau 8-0, rakyat Kelantan tak boleh terima. Malu nama Kelantan!
“Kalau sekadar nak pegang bola tapi tidak boleh mengurus, maka berikanlah kepada orang lain… koho dio pegey koho berat,” kata Presiden TRW KB, Mohd. Zainy Zain .
Katanya, jika prestasi buruk berterusan dan kekal di tangga tercorot atau kedua tercorot, tidak mustahil selepas ini penyokong akan melihat TRW bersaing dalam Liga M3.
“Kalau mutu permainan (lawan Terengganu) nak bermain Liga M3 pun tak layak. Bagi saya sebagai penyokong..jika masih tiada perubahan…saya tak nampak jalan lain selain Zamburger lepaskan TRW.
“Saya tak nampak jalan Zumburger boleh ubah nasib Kelantan. Beliau secara terhormat perlu cari orang lain untuk ambil alih,” tegasnya.Zainy menganggap tindakan Norizam meletakkan harga tinggi untuk Kelantan FC menyebabkan mereka sukar bertukar pemilik.