“Ini adalah permainan psikologi, sudah tentu Indonesia mempunyai sasaran mereka…”
Itu pandangan pengurus skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang mahu pemain muda negara tidak terperangkap dengan ‘perang psikologi’ yang dicetuskan media di negara itu.
Menerusi beberapa laporan di sana, skuad Garuda Muda yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama skuad Harimau Muda negara serta Timor Leste terpaksa menyenaraikan pasukan kedua selepas kebanyakan kelab di Liga Indonesia enggan melepaskan tonggak utama.
Jelas Shahril, beliau percaya pasukan Indonesia akan tetap menampilkan skuad terbaik bagi di mana mereka pastinya hadir selalu pasukan pilihan selepas muncul pemenang pingat emas acara bola sepak lelaki di Sukan Sea di Kemboja Mei lalu.
“Ini adalah permainan psikologi, sudah tentu Indonesia mempunyai sasaran mereka kerana mereka merupakan juara di Sukan Sea baru-baru ini dan saya yakin serta pasti mereka ada sasaran tersendiri,” katanya sebelum berlepas bersama skuad B-23 negara ke Bangkok, Thailand hari ini.
Menurut Shahril lagi, anak didik E Elavarasan tampaknya sudah bersedia menghadapi kempen kali ini selepas agak hambat di temasya Sukan Sea lalu.
Katanya, beberapa kelemahan dan kepincangan sudah dibaiki oleh barisan kejurulatihan negara.
“Yang baiknya saya lihat selepas dilantik menjadi pengurus pasukan ini adalah barisan kejurulatihan yang diketuai oleh jurulatih Elavarasan sedar apa yang sudah terjadi dalam Sukan Sea yang lalu.
“Jadi kalau barisan kejurulatihan itu sendiri memahami dan menyedari apa kesilapan dan ingin membaiki itu adalah sikap yang saya hormati,” katanya.
Pada Jun lalu, Shahril dilantik sebagai pengurus baharu skuad B-23 negara yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi menggantikan Datuk Posa Majais.
sumber:- HM
Sasaran pasukan di Thailand nanti adalah mara ke final dan cuba menjuarai saingan itu.