Perak FC nampaknya sedang menikmati detik terbaik mereka apabila berjaya melakar keputusan memberangsangkan khususnya dalam empat aksi terakhir mereka.
Pengendalinya, Yusri Che Lah sudah menemui ‘formula’ yang membantu ‘The Bos Gaurus’ beraksi dengan lebih baik – peningkatan itu dibuktikan menerusi kualiti permainan dan juga keputusan yang diraih.
Yusri menempa kemenangan sulungnya ke atas Kuching City FC 2-1 dan memberi saingan sengit ke atas Sri Pahang FC (SPFC) sebelum kalah tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur.
Kejutan terbesar dilakar menerusi kemenangan 3-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia sebelum merakam kemenangan sama ke atas ‘jiran’ KDA FC, Penang FC, Rabu lalu.
Bagaimanapun, ‘mimpi indah’ Perak FC berkemungkinan besar berakhir apabila mereka bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang hanya menanti masa untuk ditabalkan sebagai juara buat kali ke-10 berturut-turut, malam ini.
Skuad bimbingan Esteban Solari itu hanya memerlukan enam mata daripada tujuh perlawanan untuk ‘bermain bunga api’ lebih awal jadi Perak FC seharusnya tidak menjangkakan sebarang ‘ihsan’ daripada tuan rumah.
Berdasarkan 19 kemenangan berturut-turut pada musim ini, JDT pasti ‘laparkan’ kemenangan apatah lagi beraksi di laman sendiri dan hanya ‘dua langkah’ untuk menjulang trofi.
Perak FC ‘dikeronyok’ JDT 5-0 pada aksi pertama di Stadium Perak dan kebangkitan mereka di bawah Yusri mungkin memberi sedikit sinar harapan namun adakah ia cukup untuk mengekang JDT?
Sementara itu, satu lagi aksi bakal menemukan dua pasukan yang ‘terluka’ iaitu Sabah FC melayan kunjungan KL City FC di Stadium Likas, malam ini.
‘Malang berganda’ menimpa Sabah FC apabila bukan setakat rekod tanpa kalah mereka di laman sendiri lebur malah mereka turut dibelasah JDT 1-5.
Pengendali baru KL City FC, Nenad Bacina pula menghadapi aksi sulungnya di tangan seteru tetangga, Selangor FC (SFC) dengan nota kekalahan 0-2.
Aksi pertama ini sudah tentu menjadi pengajaran terbaik buat Bacina dalam mengatur strategi yang lebih ampuh bagi memburu keputusan positif pada aksi kedua.
sumber:- BH
Justeru, pertembungan ini menyajikan peluang untuk mereka mencipta kebangkitan dan merebut seberapa banyak mata yang boleh ketika saingan Liga Super kian menghampiri penghujungnya.