Tiga venue termasuk di Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Paroi diramal akan berlaku pesta gol membabitkan perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia, malam ini.
Ia berdasarkan reputasi selaku pasukan elit dipegang Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Sri Pahang berbanding lawan mereka yang berstatus pasukan kerdil.
JDT akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu untuk berdepan pasukan yang bergelut di tangga tercorot Liga Super, Kelantan dan hanya meraih satu kemenangan sahaja musim ini.
Sebelum ini, Harimau Selatan pernah merekodkan kemenangan besar 5-0 ke atas The Red Warriors (TRW) dalam aksi Liga Super di gelanggang itu dan tidak mustahil perkara sama boleh berulang.
Anak buah Esteban Solari bagaimanapun perlu lebih berwaspada susulan TRW mungkin akan menurunkan beberapa tonggak import yang baru dibawa masuk skuad itu.
Ada yang mengatakan bahawa dalam bola sepak tidak mustahil pasukan kerdil boleh mengejutkan ‘abang besar’, namun melihat kepada rekod cemerlang JDT ketika ini, amat sukar sebenarnya kejutan boleh dilakukan Kelantan walaupun beraksi di gelanggang sendiri.
TFC pula akan berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk menentang pasukan separuh profesional dari Liga M3, Kuala Lumpur (KL) Rovers.
Meskipun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, skuad Penyu dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan jika melihat kepada status elit yang dipegang anak buah Tomislav Steinbruckner.
Sementara itu, Sri Pahang turut dianggap mempunyai tugas mudah apabila akan berdepan satu lagi wakil Liga M3, Harini Selangor FT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sama seperti TFC, Tok Gajah akan turun selaku pasukan pilihan dengan kemenangan besar diramal mampu diperoleh skuad kendalian Fandi Ahmad.
TFC dan Sri Pahang mungkin berdepan sedikit tekanan apabila tampil selaku pasukan pilihan dengan mereka perlu memastikan tidak menjatuhkan maruah wakil Liga Super.
sumber:- BH
Justeru, tiada jalan lain buat skuad Penyu dan Tok Gajah selain meraih kemenangan dan sebolehnya meledak seberapa banyak gol walaupun mereka akan beraksi di tempat sendiri pada aksi timbal balik pada 18 dan 20 Ogos ini.