Seperti dijangka, Terengganu FC (TFC) tidak berdepan masalah membenam pasukan Liga M3, KL Rovers 4-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan selesa itu menyaksikan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner boleh dikatakan sudah ‘sebelah kaki’ ke pusingan suku akhir pertandingan itu musim ini.
KL Rovers tampil dengan corak permainan bertenaga dan garang pada awal permainan namun peluang terbaik pertama dimiliki TFC apabila hantaran jauh Ivan Mamut terkena palang pada minit kelima.
Penjaga gol KL Rovers, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi beraksi cemerlang apabila menepis rembatan deras Sony Norde pada minit ke-10 sebelum menangkap kemas percubaan Mamut tiga minit berselang.
Bagaimanapun, pertahanan kental KL Rovers hanya bertahan 17 minit apabila mereka dibolosi menerusi jaringan Mamut yang menyambut hantaran Norde di dalam kotak penalti.
Mamut memastikan pelawat menuju ke bilik persalinan dengan lebih selesa apabila meledak gol kedua di penghujung babak pertama.
TFC hanya memerlukan enam minit selepas rehat untuk melebarkan jurang, kali ini menerusi penyudah Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yaacob untuk terus menambah tekanan buat tuan rumah.
sumber:- BH
Mamut yang beberapa kali melepaskan rembatan untuk mendapatkan gol ketiga berhasil melengkapkan hatriknya pada minit ke-66 bagi melengkapkan kemenangan 4-0 buat TFC.