Dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) tampaknya bakal berakhir pada musim 2025 selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berazam menjadikan skuad The Red Giants sebagai salah satu kuasa baharu bola sepak tempatan dan Asia dengan meraih beberapa siri kejuaraan.
Perkara itu dinyatakan Amirudin dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk lima tahun akan datang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Dalam manifesto itu, beliau menetapkan hala tuju bola sepak Selangor termasuk menjuarai Liga Super pada musim 2025.
Hasrat itu sekaligus cuba menamatkan penguasaan JDT yang sudah menjuarainya sebanyak sembilan kali berturut-turut sejak 2014 lalu.
“Selangor pusat pembangunan bakat sukan utama di Malaysia dengan memperkasa Akademi Merah Kuning bagi melahirkan bakat terbaik bidang bola sepak.
“Aspirasi kita, Selangor dengan sasaran tiga serangkai iaitu pasukan Merah Kuning menjadi juara Piala Malaysia, Sukma dan Liga Super menjelang 2025 dan Piala AFC pada 2027,” jelas kenyataan pada manifesto PH.
sumber:- HM
Untuk rekod, Selangor FC antara kelab yang masih mendapat bantuan dana daripada kerajaan negeri termasuk sumbangan beberapa agensi negeri antaranya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).