Ada sinar di hujung terowong buat tonggak utama Selangor FC Faisal Halim apabila proses rayuannya membabitkan penggantungan hingga empat bulan akan didengari esok.
Hal ini bermakna, kemungkinan hukuman Faisal atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Siu’ yang dikenakan terhadapnya dikurangkan sekali gus boleh beraksi pada saingan Liga Super dalam tempoh terdekat ini.
Menurut sumber, Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bersidang pada petang esok sama ada hukuman dikekalkan atau terdapat pengurangan.
“Esok menentukan sama ada Mat Siu akan berehat panjang atau dia cukup digantung satu dua perlawanan sebelum kembali beraksi bersama Selangor FC.
“Selangor FC menghantar surat rayuan dalam minggu ini dan Jawatankuasa Rayuan FAM akan membincangkan perkara itu sebelum membuat pengumuman lanjut,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan Faisal secara rasmi akan berehat panjang pada baki saingan liga musim ini apabila dia digantung empat bulan oleh FAM.
Hukuman terbabit disahkan Selangor FC menerusi kenyataannya yang memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan tindakan terbabit susulan kenyataan media yang dibuat pemain kebangsaan itu selepas perlawanan menentang Sabah pada 27 April lalu.
sumber:- HM
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima surat rayuan daripada Selangor FC pada Isnin lalu.