Walaupun tumpas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali gus keciciran mata tapi pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkeyakinan pemburuan ke saingan Piala AFC musim depan masih belum padam.
Tegasnya, kekalahan kepada JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi tidak akan melenturkan semangat barisan pemainnya untuk terus kekal di tangga kedua liga ketika dikejar rapat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang hanya ketinggalan tiga mata berbanding Selangor FC sudah mengumpul 40 mata.
“Perancangan kita untuk kekal di tangga kedua liga memandang nak kejar JDT amat sukar kerana mereka jauh meninggalkan kami dengan jurang perbezaan mata dan kami tidak terlalu panik dengan kekalahan kepada JDT.
“Sebagai jurulatih, saya tak rasa terlalu panik dengan keputusan itu, yang penting adalah persiapan pasukan bagi baki perlawanan yang akan datang. Fokus utama kami ialah peningkatan untuk setiap individu dan pasukan bagi capai misi kekal di tempat kedua dalam liga,” katanya.
Mengulas kekalahan kepada skuad kendalian Esteban Solari, bekas jurulatih Harimau Malaya itu mengakui dirinya kecewa selepas hasrat mencuri satu mata tatkala berdepan JDT tidak kesampaian walaupun melaksanakan pendekatan taktikal yang dirancang dengan berkesan.
Katanya, akibat hilang konsentrasi ketika memasuki 10 minit terakhir perlawanan gawang barisan pemainnya bolos dengan gol pertama pasukan lawan dan seterusnya gol penalti yang melenyapkan sisa perjuangan skuad The Red Giants.
“Secara keseluruhan, saya lihat dari babak pertama kita sudah menunjukkan disiplin yang tinggi namun kelekaan ketika perlawanan menuju usia 80 minit menyebabkan kita telah dibolosi.
“Kita tahu rangkaian serangan JDT cukup kuat dan banyak gol dijaringkan mereka di gelanggang keramat mereka. Oleh itu kita cuba bermain secara bertahan tapi kita gagal mengatasi situasi tersebut. Untuk berdepan lawan sehebat JDT, kita tidak boleh hilang fokus.
“Saya rasa banyak pasukan yang berdepan dengan skuad Harimau Selatan menggunakan pelbagai cara dan taktikal namun masih gagal sekat JDT, jaringan gol yang dihasilkan itu membuktikan pasukan kendalian Esteban Solari ini berada di tahap yang berbeza,” katanya.
Cheng Hoe juga tidak menolak kecederaan yang dialami Richmond Boakye sedikit sebanyak merencat percaturannya selain menjejas jentera serangan untuk berfungsi sehingga memaksanya mengubah perancangan dengan bermain bertahan.
Malah katanya, ketiadaan Faisal Halim yang digantung selama empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut merencatkan perancangan bagi membentuk kesebelasan utama yang mantap ketika menentang JDT.
“Kehilangan Faisal (dikenakan penggantungan empat bulan) sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan pasukan tetapi ialah biasa dalam bola sepak apabila pasukan kehilangan pemain dalam tempoh panjang akibat kecederaan dan sebagainya.
sumber:- HM
“Kita kena bijak cari alternatif lain untuk perkara ini, pada malam ini kita lihat Mukhairi Ajmal Mahadi bermain dengan baik pada perlawanan ini dan mampu di posisi yang ditinggalkan Faisal walaupun pertama kali bermain di posisi ini,” ujarnya.