Penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Kevin Mendoza mengakui terkejut selepas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan meledak rembatan dari jarak jauh sekali gus menewaskannya pada aksi final Piala FA malam tadi.
Menurut penjaga gol kebangsaan Filipina itu, apa yang dilakukan Hong Wan cukup `luar biasa’ kerana dia tidak sangka pemain itu bertindak pantas tanpa berlengah untuk merembat tepat ke penjuru sehingga sukar untuknya menghalang bola menerjah jaring.
“Sudah tentu ia perlawanan yang sukar bagi kami. JDT adalah pasukan yang bagus tapi secara keseluruhan kami bermain baik sepanjang 65 minit.
“Kami bermain dengan corak bertahan namun kami tetap mempunyai beberapa peluang dan jika ia berjaya disempurnakan keputusan perlawanan akan menjadi lain tetapi akhirnya ia tidak mencukupi dan sudah tentu saya sedih.
“Saya tidak menyangka pemain nombor 6 (Hong Wan) akan merembat bola dari jarak jauh kerana biasanya dia bukan pemain yang selalu melakukan rembatan sebegitu. Kami terperanjat dengan rembatan itu kerana ia jarang berlaku namun jaringan itu cukup baik,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.
Mendoza turut mengakui dia berpuas hati dengan persembahannya namun dia berbangga dengan barisan pertahanannya yang menunjukkan prestasi cukup cemerlang sepanjang perlawanan.
sumber:- BH
Mendoza kembali menjaga gawang KL City selepas mengalami kecederaan panjang dan mempamerkan aksi mantap hingga berjaya mengecewakan barisan serangan JDT terutama pada babak pertama apabila menyelamatkan beberapa percubaan yang boleh menghasilkan gol.