Skuad Harimau Malaya kini mencari lawan yang lebih kuat bagi ‘mengasah’ taring dengan menjadikan pasukan di bawah ranking ke-100 dunia sebagai lawan pada jendela aksi antarabangsa, September ini.
Ini menyaksikan skuad di ranking ke-79 dunia, China bakal menjadi lawan negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan pasukan di ranking ke-34 dunia iaitu Mesir.
Perkembangan itu disahkan Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang menjelaskan skuad kebangsaan sudah pasti akan bertemu China manakala perbincangan lanjut dengan Mesir sedang giat dijalankan.
“China boleh dikatakan ketika ini sudah mengesahkan akan bertemu Harimau Malaya namun Mesir pula dalam perbincangan lanjut.”Kita mahu mencari venue bersesuaian untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu di luar negara supaya mudah untuk kedua-dua pasukan itu datang kelak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Perlawanan Piala Agong dan Pertandingan Piala Emas Raja-Raja Tahun 2023 serta Mesyuarat Tahunan Ke-66 Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM), hari ini.
Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan skuad kebangsaan berpeluang menguji Mesir yang juga juara Afrika tujuh kali pada jendela antarabangsa, September ini.
Situasi ini pasti memberi pengalaman berharga buat anak buah Kim Pan Gon apatah lagi berdepan Mesir yang berada pada ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia selain memiliki bintang ternama seperti Mohamed Salah.
sumber:- BH
Selepas aksi antarabangsa pada September, skuad negara akan mengharungi Pestabola Merdeka dalam aksi empat penjuru menentang Palestin, Lubnan dan India.