sukan

Herold Goulon kecewa tindakan Safuwan Baharudin

“Walaupun pasukan berdepan kekangan yang menyebabkan tidak dapat membawa masuk pemain baharu, namun itu tidak harus dijadikan halangan buat kami meneruskan perjuangan semampu yang boleh,” kata pertahanan kental Negeri Sembilan FC (NSFC), Herold Mark Goulon.

Pemain import dari Perancis berusia 34 tahun itu mahu rakan sepasukan terus cekal dan bersemangat dalam mengharungi baki saingan Liga Super demi meletakkan skuad Hobin Jang Hobin pada tahap pencapaian membanggakan musim ini.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan tidak boleh mengeluh kerana sikap itu boleh menjejaskan fokus dalam berdepan cabaran baki saingan liga.

“Semua pemain Negeri Sembilan perlu terus berjuang dengan apa yang ada. Segala kekangan yang dihadapi tidak boleh dijadikan alasan kerana ia akan menganggu fokus permainan.

“Saya berharap rakan-rakan dapat kekalkan fokus dan bersedia meneruskan perjuangan untuk mempertahankan maruah pasukan,” katanya hari ini.

Goulon mengakui terasa dengan ketiadaan rakan sepasukan, Safuwan Baharudin yang kembali ke pasukan asalnya, Selangor FC, selepas pemain import dari Singapura itu tidak melanjut kontrak bersama Negeri Sembilan.

“Dia (Safuwan Baharudin) seorang pemain yang bagus dan saya tak tahu adakah kami dapat mencari pengganti beliau atau tidak.”Dalam apa keadaan pun, kita akan teruskan perjuangan,” katanya.

sumber:- BH

Negeri Sembilan kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan mengumpul 20 mata daripada 17 perlawanan, bakal menentang Terengganu FC pada aksi seterusnya di Kuala Terengganu, 28 Julai ini.