sukan

‘Trio’ padu fenomena baharu

Trio ‘tiga serangkai’ Selangor FC (SFC) dibarisi Faisal Halim, Ayron del Valle dan Richmond Boakye disifatkan beraksi dengan cemerlang ketika membantu pasukan itu membenam Penang FC 3-0, semalam.

Namun, pengendalinya, Tan Cheng Hoe menegaskan masih terlalu awal untuk menilai kombinasi ketiga-tiga pemain itu sekalipun gandingan itu berjaya memperagakan tahap persefahaman yang baik.

“Kita lihat sudah ada bunga-bunganya tetapi saya harap mereka dapat mengekalkan konsistensi dalam perlawanan seterusnya.

“Persefahaman tidak akan datang dalam sekelip mata tetapi barisan kejurulatihan percaya kalau pemain terus memberikan tumpuan dan bekerja keras dalam sesi latihan, kita boleh pergi jauh,” katanya.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), ‘The Red Giants’ mengukuhkan kedudukan di tangga kedua selepas tiga mata berharga itu membolehkan mereka berkelebihan tiga mata mengatasi pasukan di tangga ketiga dan keempat.

Noor Al Rawabdeh meledak gol pembukaan pada babak pertama sebelum dua gol pada separuh masa kedua menerusi Boakye yang membuka akaun golnya bersama SFC dan Faisal membantu mereka merakam kemenangan selesa.

Mengulas lanjut aksi anak buahnya, Cheng Hoe mengakui mereka tidak boleh selesa dan perlu terus bekerja keras memandangkan masih ada kelemahan ditunjukkan yang boleh dihukum pasukan lawan.

“Positifnya adalah kita berjaya memanfaatkan peluang yang berjaya dicipta dan pemain saya berjaya bangkit selepas tewas pada aksi terakhir sebelum ini.

sumber:- BH

“Cuma kita perlu menambahbaik lagi corak permainan pasukan khususnya ketika menghadapi serangan balas pantas dan memberi peluan kepada pemain lawan menggunakan peluang yang diperolehi,” katanya.