sukan

Naib Juara di tangan JDT

Perubahan format pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyaksikan pasukan Liga Malaysia (Liga M) hanya mendapat dua slot bagi musim 2024/25, kurang satu slot berbanding 2023/24.

Situasi itu menyaksikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan juara Liga Super akan bersaing pada pertandingan AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan bersaing di pertandingan AFC Tier 2.

KL City FC dilihat berpeluang untuk beraksi di Asia musim depan namun dengan syarat perlu menundukkan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini.

Namun di sebalik hanya dua slot untuk juara, masih ada ‘pintu belakang’ buat pasukan lain memburu peluang beraksi di pentas Asia namun perlu mengharapkan ‘ihsan’ JDT untuk menewaskan KL City FC di final Piala FA.

Dengan JDT dilihat terus unggul di persada liga dan berkelebihan 14 mata mengatasi pasukan kedua, Selangor FC dan Sri Pahang FC (SPFC), mereka dijangka terus menjulang Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Jika JDT memenangi Piala FA dan Liga Super, maka naib juara Liga Super bakal tersenyum kerana slot ke pertandingan AFC Tier 2 akan ‘turun’ kepada mereka.

“Sekiranya juara Liga Super dan juara Piala FA 2023 adalah kelab yang sama, maka juara Liga Super akan beraksi dalam pertandingan kelab AFC Tier 1 dan naib juara Liga Super pula akan layak bertanding dalam saingan kelab AFC Tier 2,” kata MFL.

Cuma, pasukan itu tetap tertakluk kepada syarat pelesenan kelab AFC dan penggantian pasukan yang layak tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL.

Seandainya situasi ini berlaku, saingan perebutan naib juara pasti bertambah sengit memandangkan ketika ini empat pasukan berada pada kedudukan terbaik selaku calon naib juara.

Beberapa minggu sebelum ini, SFC dilihat agak selesa di kedudukan kedua namun selepas 16 perlawanan, segala-galanya berubah dan perebutan naib juara terbuka luas.

‘The Red Giants’ agak goyah di kedudukan kedua apabila berkongsi 34 mata dengan Sri Pahang dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

Kedah Darul Aman (KDA) FC pula terus ‘menghimpit’ di kedudukan keempat dengan 31 mata sementara Sabah FC yang turut beraksi di Piala AFC musim ini di tangga kelima dengan 30 mata.

sumber:- BH

Justeru, kesimpulan mudahnya adalah pasukan perlu memastikan mereka menjadi naib juara musim ini dan mengharapkan ‘bantuan’ JDT untuk ‘menyapu’ Piala FA dan Liga Super musim ini.