Persiapan pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dijangka semakin mantap apabila jurulatih baharu, Wong Tat Meng memulakan tugasnya, hari ini.
Tat Meng sebelum ini dilantik menjadi jurulatih Zii Jia menggantikan tempat Indra Wijaya yang berpisah dengan Zii Jia pada November tahun lalu.
Kakak Zii Jia merangkap pengurusnya, Lee Zii Yii berkata, pemain itu akan melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan seterusnya yang akan berlangsung kurang dua minggu dari sekarang.
“Hanya kurang dua minggu untuk melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan seterusnya. Jadi, adalah penting untuk pasukan memberikan fokus terhadap latihan.
“Terima kasih di atas keprihatinan yang ditunjukkan daripada semua,” kata Zii Yii dalam satu kenyataan ringkas kepada media.
Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England sebelum ini mengumumkan dia mahu berehat seketika daripada badminton selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Indonesia, bulan lalu.
Dia dijangka menyertai kejohanan pertamanya bersama Tat Meng di Terbuka Korea yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini di Yeosu.
Di Terbuka Korea, Zii Jia akan membuka tirai saingan menentang bekas anak didik Tat Meng dari Hong Kong, Ng Ka Long di pusingan pertama.
sumber:- HM
Jika mara ke pusingan kedua, dia dijangka bertemu seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang akan membuka tirai kempen menentang Mithun Manjunath dari India.